Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Isnin, 24 September 2012

Latihan 1 - Kebaikan Amalan Bergotong-royong

Karangan cemerlang yang dihasilkan oleh anak murid Cikgu TanCL. Tahniah diucapkan kepada pelajar tersebut.



Tajuk 1: Kebaikan Amalan Bergotong-royong

 Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong-royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera. Berapa ramaikah anggota masyarakat yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan cara untuk melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian, kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini. 

 Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong-royong kita dapat memperindah kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghumi bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong yang dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. 

 Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahatir, "mencegah lebih baik daripada mengubati". Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalau kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal. 

 Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan. Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama sendiri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing.

 Melalui kegiatan yang afdal ini, kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr. Mahatir, mantan Perdana Menteri yang ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

 Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini, kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu-padu. Sebagai tamsilnya, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama yang akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "jiran sepakat membawa berkat".

 Intihanya, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

(856 patah perkataan)
     
(Sumber: Cikgu TanCL)