Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Jumaat, 15 Mac 2013

Latihan 10 - Surat Rasmi

Tajuk 10
Di kawasan tempat tinggal anda, masalah bekalan air sering berlaku. Hal ini banyak menimbulkan masalah kepada penduduk. Sebagai wakil penduduk, anda ingin mengemukakan masalah ini kepada pihak berkuasa bekalan air.

Tulis surat tersebut selengkapnya. 

Sivaji Ram
22, Lorong Pahlawan 29,
Bandar Botanik,
41200 Klang,
Selangor Darul Ehsan.
____________________________________________________________

Tuan Pengarah
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)
Menara SYABAS
Jalan Sultan Ibrahim,
41000 Klang,
Selangor Darul Ehsan.                                        10 SEPTEMBER 2011.

Tuan,

Masalah Bekalan Air di Taman Perumahan

Berdasarkan perkara di atas, saya Sivaji Ram selaku wakil penduduk menulis surat ini kepada pihak tuan. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menyuarakan kesulitan akibat masalah bekalan air yang kami hadapi sejak 6 bulan yang lalu. Masalah yang belum diatasi ini membawa pelbagai kesulitan kepada kami.

2.   Masalah bekalan air yang berlaku di kawasan perumahan kami telah membawa banyak kesulitan kepada penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan air sering terputus tanpa diberikan sebarang notis daripada pihak SYABAS. Masalah ini menyebabkan kami tidak dapat menyimpan air yang secukupnya untuk menghadapi keputusan bekalan air yang berlaku pada bila-bila masa sahaja. Oleh hal yang demikian, banyak aktiviti harian seperti mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan diri tidak dapat dijalankan. Masalah ini memberikan ketidakselesaan kepada kami. Kami berharap agar notis atau surat pemberitahuan disampaikan kepada kami supaya kami dapat sediakan payung sebelum hujan.

3. Selain itu, kami turut menghadapi masalah bekalan air yang tidak mencukupi sehingga masalah tekanan air rendah berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana tangki air di taman perumahan kami tidak cukup untuk menampung bilangan penduduk yang bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah ini menjadi lebih serius apabila bekalan air terputus. Apabila bekalan air pulih seperti biasa, tekanan air adalah rendah sehingga kami terpaksa membeli pam air untuk mempertingkatkan tekanan air di rumah kami. Oleh hal yang demikian, permohonan kami supaya tangki air tambahan dibina haruslah diberikan perhatian oleh pihak tuan.

4.   Kami turut menghadapi masalah bekalan air yang kotor. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan air paip yang kami peroleh terus daripada tangki berwarna kekuning-kuningan walaupun sudah melalui tapisan. Kami berasa bimbang bahawa hal ini akan menyebabkan kesihatan penduduk terganggu. Pada masa yang sama, beberapa kes bayi yang mengalami masalah cirit-birit telah berlaku akibat meminum air susu yang sumber airnya daripada air paip yang telah dididih. Sebelum nasi sudah menjadi bubur, kami berharap agar rawatan bekalan air yang dilakukan oleh pihak tuan dapat menepati ciri-ciri keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar kesihatan kami terjamin. 

5.   Di samping masalah di atas, kami juga sering menghadapi masalah kecurian bekalan air paip. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan perumahan kami masih baharu dan projek perumahan masih dijalankan oleh pemaju perumahan di kawasan tempat tinggal kami. Hal ini menyebabkan pekerja kontrak pembinaan rumah yang tinggal di kawasan perumahan kami mencuri bekalan air paip dengan membuat sambungan haram tanpa kebenaran pihak SYABAS. Kami berharap agar pihak tuan dapat menyiasat perkara ini supaya kami tidak akan terus mengalami masalah bekalan air. Siasatan yang terperinci perlu dilakukan oleh pihak tuan agar sikap pemaju perumahan yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ini dapat dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.

6.   Masalah seterusnya yang menghantui kami ialah bil bekalan air yang sangat membebankan. Hal ini dikatakan demikian kerana pegawai bertugas yang datang dari rumah ke rumah untuk mendapatkan bacaan meter air bersikap melepaskan batuk di tangga. Pegawai yang bertugas sering tidak mendapatkan bacaan sebenar dan juga sering membuat bacaan anggaran lalu mengenakan bil yang tidak tepat. Kami berharap agar masalah ini akan mendapat perhatian daripada pihak tuan. Bayangkanlah, sebuah rumah yang didiami oleh tiga orang penghuni terpaksa membayar bil air sebanyak RM180 sebulan ekoran daripada sikap pegawai bertugas yang bena tak bena

  Kami berharap semua rintihan dan keluhan hati kami di atas akan diperhatikan oleh pihak SYABAS. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas segala bantuan dan perkhidmatan yang kami terima setakat ini. Selain itu, kami berharap agar masalah bekalan air di kawasan tempat tinggal kami dapat diselesaikan secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
_____________
(SIVAJI RAM)
Wakil Penduduk Bandar Botanik


(Sumber: Cikgu TanCL)