"Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya". Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang akan menconteng arang di muka ibu bapa.
Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.
Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana mereka datang daripada keluarga yang baik dan keluarga yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.
Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak.
Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa untuk mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.