Menghadapi kesukaran untuk menulis karangan?
Tidak tahu cara untuk menghuraikan isi karangan?
Tidak ada idea ketika menulis?
Jangan risau!
Tajuk 5:
Ibu bapa berperanan membentuk akhlak dan menentu kejayaan akademik anak-anak. Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Pada hari ini, isu membentuk akhlak dan kejayaan akademik anak-anak selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana sejak akhir-akhir ini akhlak remaja semakin membimbangkan dan kejayaan akademik anak-anak pula semakin dititikberatkan. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah kita sama-sama membincangkan peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan menentukan kejayaan akademik anak-anak.
Sesungguhnya, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak adalah memberikan pendidikan agama dan pendidikan moral. Hal ini demikian kerana pendidikan agama dan moral dapat menghalang anak-anak terlibat dalam masalah sosial. Sebagai contohnya, pendidikan agama dan moral banyak menerapkan nilai-nilai murni. Oleh itu, kita dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai akhlak yang baik. Jelaslah, pendidikan agama dan moral memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak anak-anak.
Seterusnya, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak adalah memberikan nasihat, teguran, dan tunjuk ajar. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa menegur perbuatan anak-anak yang tidak baik. Oleh itu, ibu bapa dapat membentuk akhlak anak-anak yang terpuji. Benarlah, nasihat, teguran, dan tunjuk ajar oleh ibu bapa dapat membentuk akhlak anak-anak.
Selain itu, peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan akademik anak-anak adalah menyediakan keperluan pembelajaran yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa. Sebagai contohnya, ibu bapa menyediakan alat tulis dan buku-buku yang sesuai. Tegasnya, peranan ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran yang sempurna dapat menentukan kejayaan akademik anak-anak.
Realitinya, peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan akademik anak-anak adalah menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas tuisyen. Hal ini demikian kerana anak-anak akan mendapat ilmu pengetahuan yang lebih kukuh. Sebagai contohnya, anak-anak mengikuti kelas tambahan untuk mata pelajaran yang sukar. Oleh itu, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik. Jelaslah, menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas tuisyen dapat menentukan kejayaan akademik anak-anak.
Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam membentuk akhlak dan menentu kejayaan akademik anak-anak. Jika tidak, kita akan dipandang rendah oleh masyarakat luar. Semoga kita akan dapat melahirkan rakyat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun begitu, ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.
(342 patah perkataan)
(Sumber: Modul Latihan Terancang Program Perhalus SPM 2012)