Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Sabtu, 28 September 2013

Latihan 12 - 1 Malaysia

Tajuk 12
Langkah/cara/strategi/kaedah untuk menjayakan Gagasan 1 Malaysia. 

  Konsep "1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan", telah diperkenalkan oleh Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Pelbagai persepsi timbul daripada pengenalan konsep ini yang dikatakan menyamai konsep "Malaysian Malaysia" yang diperkenalkan oleh parti politik DAP pada tahun 1960-an. Namun hal ini hanya merujuk kepada ideologi politik yang diperjuangkan oleh individu yang bernaung di bawah pengaruh parti politik tempatan. Sesuatu yang seharusnya menjadi debat dan forum percambahan minda ialah kaedah dan pelaksanaan yang boleh diguna pakai untuk menterjemahkan ideologi kepimpinan beliau dan sejauh manakah pelaksanaannya mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap konsep baharu ini. Oleh itu, definisi konsep yang seharusnya merangkumi pelbagai sudut pandangan perlu diperjelaskan untuk membolehkan penerimaan konsep ini dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. 

   Secara umumnya, Malaysia yang berlatarbelakangkan kepelbagaian kaum dalam satu naungan kuasa raja berpelembagaan amat menitikberatkan semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi dalam setiap diri masyarakatnya. Hal ini perlu dijaga dan sering diberi perhatian bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, konsep 1 Malaysia ini secara sosiologinya bermaksud kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar "Bangsa Malaysia" dan menggantikan dasar perkauman yang hanya menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini. Bangsa-bangsa di negara ini harus membentuk satu budaya penerimaan pelbagai aplikasi adat, budaya, dan peraturan yang dipraktikkan sesebuah kaum bagi meningkatkan kesefahaman dan menjayakan gagasan ini. Sikap hormat-menghormati dan mesra antara kaum amat penting bagi menzahirkan jati diri Bangsa Malaysia. Oleh itu, pemupukan nilai murni ini boleh dilaksanakan di peringkat awal lagi khususnya dalam membina kehidupan berjiran di kawasan perumahan agar gagasan 1 Malaysia dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat. 

   Dalam aspek politik pula, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini demikian kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukan Bangsa Malaysia. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat diperkukuhkan. 

   Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar "Pecah dan Perintah" yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Meskipun sudah 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, namun kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini, sektor ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika dahulu kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada bidang perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu menceburkan diri dalam bidang yang mampu dibangunkan oleh mereka. Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberikan peluang dan suntikan semangat kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang berpotensi untuk dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu diperkasakan oleh rakyatnya sendiri yang membentuk gagasan 1 Malaysia. 

   Dalam pada itu, aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan gagasan 1 Malaysia. Institusi-institusi pendidikan di negara ini sememangnya berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan. Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1 Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan. Secara definisinya, konsep 1 Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan dasar pendidikan yang hanya berkepentingankan sesebuah bangsa dan menafikan hak golongan tertentu merupakan matlamat 1 Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit antara pelajar hari ini dalam memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan tidak menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar rasmi, iaitu bahasa Melayu mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya. Oleh itu, tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta. 

   Selain itu, aspek agama dan kepercayaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia. Hal ini demikian kerana agama dan kepercayaan merupakan pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan oleh aspek lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan kepercayaan merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan agama sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu, dan Kristian merupakan agama yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakatnya. Oleh itu, sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya menidakkan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi yang semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati. Langkah muhibah ini mampu memperjelaskan konsep 1 Malaysia secara rohaninya. 

  Kesimpulannya, gagasan 1 Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan datang sebaliknya langkah ke arah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Seruan pemimpin negara perlu disahut semua pihak dalam usaha menjayakannya. Perkongsian ideologi dalam menjayakannya perlulah bersifat mantap dan pelaksanaannya perlulah secara bersepadu bagi merealisasikan harapan Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak kepada negara. Kesannya bukan sahaja melibatkan negara secara umumnya, malahan meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Oleh itu, semangat 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi arus permodenan, pembangunan, persaingan, dan globalisasi dunia. Semoga gagasan ini akan mencapai matlamat dan hala tuju seperti yang telah ditetapkan.