Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Khamis, 27 September 2012

Apakah itu program PERHALUS?



 Memandangkan masih ramai murid SPM yang tidak layak mendapat sijil kerana gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, maka Modul Latihan Terancang PERHALUS untuk sekolah-sekolah menengah negeri Pahang telah dihasilkan. 

 Kerjasama pintar antara Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dengan Yayasan Pahang untuk menerbitkan modul ini bertepatan dengan misi Jabatan Pelajaran Pahang, iaitu Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti.

 Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan murid untuk lulus dalam Bahasa Melayu adalah kerana mereka tidak menguasai kemahiran 2M, tidak dapat menjana idea untuk mengarang dan kurang minat membaca.

 Modul ini diharapkan dapat menjadi asas dan rujukan kepada para guru dalam usaha meningkatkan peratus lulus dalam subjek Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Pahang agar berupaya mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu peratus gagal 8% diminimumkan kepada 4% sahaja bagi SPM tahun 2012.

 Latihan terancang yang disediakan menjadi medan perkongsian ilmu kepada para guru dalam usaha membantu murid-murid yang memerlukan bimbingan untuk lulus. Latihan-latihan yang dimuatkan dalam modul ini merupakan cadangan sumber isi pelajaran subjek Bahasa Melayu yang telah disusun secara terancang mengikut kesesuaian tahap pencapaian murid-murid lemah Bahasa Melayu.

 Modul ini terbahagi kepada lima komponen utama dan setiap komponen mengandungi soalan-soalan ansur maju. Modul ini bukan sahaja memudahkan guru mengajar, malah mampu memberi idea baharu untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dalam bilik darjah.

 Pihak Yayasan Pahang dan Jabatan Pelajaran Pahang berharap agar modul PERHALUS ini dapat digunakan secara optimum dalam usaha membantu anak-anak didik kita. Tahniah diucapkan kepada warga pendidikan yang telah sama-sama berusaha dengan gigih dalam menghasilkan modul PERHALUS yang komprehensif dan bakal digunakan kepada kumpulan murid-murid potensi lulus. Oleh itu, pemantauan, penilaian, dan penambahbaikan seharusnya menjadi elemen yang perlu ditekankan dalam kitaran pelaksanaan modul PERHALUS ini.

 Semoga matlamat dan hasrat murni untuk membantu murid-murid potensi lulus negeri Pahang akan tercapai dengan jayanya. Sesungguhnya, anak-anak didik ini berhak untuk dibantu demi melahirkan modal insan yang celik ilmu. Bak kata orang:

Hanyut dipintas,
Hilang dicari,
Terapung dikait,
Terbenam diselami.