Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Selasa, 25 September 2012

Latihan 1 - Rumusan dan Pemahaman

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah industri pelancongan kepada negara dan sebab-sebab pelancong gemar ke Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

     Negara kita Malaysia semakin maju menuju wawasan 2020. Salah satu faktor yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara kita ialah sektor pelancongan. Oleh sebab itulah kerajaan berterusan mengadakan Kempen Melawat Malaysia. Sektor pelancongan menggalakkan pengaliran wang masuk ke negara kita. Apabila pelancong asing melancong ke Malaysia, mereka akan mengeluarkan wang untuk berbelanja seperti penginapan, makanan, dan pengangkutan. Mereka akan menukarkan wang negara asal mereka kepada nilai wang ringgit. Selain itu, sektor pelancongan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Lokasi tumpuan pelancong seperti restoran, stesen bas, lapangan terbang, dan hotel memerlukan tenaga pekerja. Dengan adanya peluang pekerjaan, penduduk tempatan berpeluang untuk mencari nafkah.

      Pada waktu yang sama, kraf tangan negara dapat dimajukan melalui sektor pelancongan. Pelancongan sama ada dari dalam negara atau luar negara pasti akan membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan. Malah, sektor pelancongan juga akan menaikkan nama negara di persada dunia. Pelancong yang berpuas hati dengan keindahan dan keistimewaan Malaysia pasti akan mengesyorkan kawan-kawan mereka agar berkunjung ke Malaysia. Malah, kedatangan pelancong juga menyebabkan wujudnya hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain. Hal ini demikian kerana pelancong yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan bangsa. Bagi rakyat tempatan yang bijak mengambil kesempatan, kedatangan pelancong mampu meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk.

     Selain itu, pelancongan secara tidak langsung mampu meningkatkan pengetahuan rakyat tentang budaya dan ketamadunan bangsa asing. Jika tindakan positif diambil oleh segenap lapisan masyarakat, industri pelancongan boleh menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat. Untuk memastikan pelancong berasa selesa berada di negara kita, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan. Kerajaan sedar, kedatangan pelancong banyak memberi faedah kepada negara. Oleh itu, kerajaan akan meningkatkan kemudahan prasarana negara seperti sistem pengangkutan, perhotelan, perkhidmatan dan kesihatan yang akhirnya memberi kemudahan kepada rakyat keseluruhannya. Dalam jangka panjang, dengan respons masyarakat terhadap kedatangan pelancong, sudah pasti dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan yang berpendapatan rendah.

   Kerajaan telah melonggarkan syarat-syarat untuk memasuki negara bagi menggalakkan kemasukan pelancong asing. Dengan menggunakan taraf pelancong, seseorang itu boleh tinggal di negara itu selama sebulan tanpa permit kerja mahupun visa. Hal ini menyebabkan wujudnya sindiket-sindiket haram membuka cawangannya di negara kita yang menyebabkan kita terdedah kepada peningkatan jenayah. Kesan negatif yang lain, untuk membangunkan bidang pelancongan, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan. Antaranya ialah kemudahan membeli-belah, kemudahan hiburan, dan pusat-pusat rekreasi. Malangnya, kemudahan-kemudahan prasarana telah disalahgunakan oleh para belia untuk melepak dengan alasan untuk menenangkan fikiran. Malah, kedatangan pelancong tanpa kawalan menyebabkan mereka menjadikan Malaysia sebagai lubuk emas mencari pekerjaan, lalu peluang belia untuk bekerja menjadi semakin terhad. Kita tidak mahu dikatakan, “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan”. Hal ini bukan omongan kosong apabila boleh dikatakan terlalu kerap media massa memaparkan anggota polis memberkas pelancong asing yang bekerja menggunakan visa lawatan.


Rumusan Lengkap:
 Petikan membincangkan kebaikan industri pelancongan kepada negara.

 Faedah-faedahnya adalah menggalakkan pengaliran wang masuk ke negara kita dan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain itu, kraf tangan negara dapat dimajukan. Seterusnya, menaikkan nama negara di persada dunia. Di samping itu, meningkatkan kemudahan prasarana negara. Dalam pada itu, mewujudkan hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain dan meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk.

 Sebab-sebab pelancong gemar ke Malaysia kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan harmoni. Negara kita juga mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi oleh para pelancong.

 Kesimpulannya, semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam membangunkan industri pelancongan di Malaysia supaya ekonomi negara terus berkembang.

(108 patah perkataan)


Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.
i.  Berikan maksud rangkai kata semakin terhad. [2 markah]
Rangkai kata semakin terhad bermaksud menjadi lebih terbatas.

ii. Nyatakan tiga kesan negatif dengan tindakan kerajaan memajukan industri pelancongan. [3 markah]
 Kesan negatif tindakan kerajaan memajukan industri pelancongan adalah mewujudkan sindiket-sindiket haram membuka cawangannya di negara kita menyebabkan kita terdedah kepada peningkatan jenayah.

 Selain itu, kemudahan-kemudahan prasarana telah disalahgunakan oleh para belia untuk melepak.

 Akhir sekali, kedatangan pelancong tanpa kawalan menyebabkan mereka menjadikan Malaysia sebagai lubuk emas mencari pekerjaan, lalu peluang beliau untuk bekerja menjadi semakin terhad.

iii. Pada pendapat anda, apakah yang dapat dilakukan oleh penduduk yang tinggal di desa untuk terlibat sama dalam industri pelancongan. [4 markah]
 Pada pendapat saya, penduduk yang tinggal di desa dicadangkan melaksanakan program Inap Desa untuk para pelancong.

 Selain itu, penduduk desa perlu melibatkan diri dalam industri kraf tangan dalam menghasilkan barangan cenderamata.

 Seterusnya, para belia boleh menceburkan diri secara aktif sebagai pemandu pelancong dalam memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di negara kita.

 Akhir sekali, persembahan kebudayaan juga dapat dilakukan oleh penduduk tempatan sebagai salah satu usaha menari perhatian para pelancong berkunjung ke negara kita.