Penggunaan bahasa kebangsaan semakin
terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Bincangkan pernyataan di atas.
Pada hari ini, isu bahasa
kebangsaan selalu diperkatakan. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa
kebangsaan semakin terpinggir oleh rakyat pada masa kini. Persoalannya,
mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah
kita membincangkan cara-cara untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Sesungguhnya, kerajaan
seyogianya mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu. Hal
ini dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dan mengembalikan kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di
Malaysia. Sebagai contoh, kempen “Cintailah Bahasa Kita” perlu diadakan dari
semasa ke semasa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat. Oleh
itu, bahasa Melayu dapat berkembang menjadi bahasa kelas dunia yang praktikal
dan realistik. Jelaslah, mengadakan kempen kesedaran merupakan kaedah untuk
memartabatkan bahasa Melayu.
Sementara itu, kerajaan
seharusnya mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa
Melayu dalam segala urusan rasmi. Hal ini secara tidak langsungnya dapat
menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang baku dalam sektor kerajaan. Sebagai
tamsilan, bahasa Melayu perlu terus kekal digunakan dalam bidang pentadbiran
undang-undang, kehakiman dan mahkamah. Oleh itu, bahasa Melayu akan diperkasa
sama ada pada peringkat kenegeraan mahupun antarabangsa. Benarlah, mewajibkan
semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam segala
urusan rasmi merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Selain itu, kerajaan sepatutnya
mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada papan-papan tanda. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa yang tidak betul akan menjejaskan imej negara
di mata masyarakat. Sebagai misalan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
bertanggungjawab untuk memantau dan membuat teguran terhadap sebarang kesalahan
bahasa pada papan-papan tanda dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil
tindakan selanjutnya. Oleh itu, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat
akan dapat dikurangkan. Tegasnya, mewajibkan penggunaan bahasa yang betul pada
papan-papan tanda merupakan uslub untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Di samping itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan
penganjuran aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah merupakan satu medium penting untuk menyemarakkan penggunaan
bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, sekolah perlu diwajibkan
mengadakan program bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) seperti Safari Membaca dan Maraton Membaca. Oleh itu, para pelajar
dapat belajar tentang bahasa yang betul melalui penyertaan mereka dalam
aktiviti bulan bahasa. Sudah terang lagi bersuluh, mewajibkan penganjuran
aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa di sekolah merupakan strategi
untuk memartabatkan
bahasa Melayu.
Kesimpulannya, semua pihak
mestilah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Jika tidak, bahasa Melayu akan musnah ditelan zaman. Marilah kita berdoa semoga kita akan
dapat meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat. Namun
begitu, bak kata peribahasa, “tepuk dada tanya selera”.
(399 patah perkataan)