Statistik Pembaca

Mengenai Saya

Sabtu, 18 Oktober 2014

Karangan 2

Masalah sosial yang melibatkan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini.
Huraikan pendapat anda tentang punca-punca remaja terjebak dalam gejala sosial.

     Pada hari ini, isu masalah sosial selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana masalah sosial yang melibatkan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah kita membincangkan punca-punca remaja terjebak dalam gejala sosial.  

     Sesungguhnya, punca remaja terjebak dalam gejala sosial ialah kekurangan didikan agama dan moral dalam diri remaja. Hal ini menyebabkan remaja mudah terpengaruh oleh anasir-anasir yang jahat. Sebagai contoh, masalah lumba haram, merokok dan penyalahgunaan dadah boleh terjadi akibat keinginan remaja untuk mencari keseronokan demi mengisi hati sanubari mereka yang kosong. Oleh itu, perkara ini akan menyebabkan remaja kehilangan pegangan dalam kehidupan dan bertindak sesuka hati. Jelaslah, kekurangan didikan agama dan moral dalam diri remaja merupakan punca remaja terjebak dalam gejala sosial.

     Sementara itu, punca remaja terjebak dalam gejala sosial ialah ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa kini rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri (desakan hati) mereka. Sebagai tamsilan, ibu bapa hanya memberikan wang kepada anak-anak dan tidak meluangkan masa yang mencukupi untuk mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka. Oleh itu, lama-kelamaan remaja yang membesar tanpa belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa akan menyebabkan remaja berasa dirinya tidak dihargai dan terabai. Benarlah, pengabaian tanggungjawab oleh ibu bapa merupakan punca remaja terjebak dalam gejala sosial.

     Selain itu, punca remaja terjebak dalam gejala sosial ialah pengaruh rakan sebaya. Hal ini demikian kerana rakan sebaya merupakan individu yang rapat dengan remaja selain ibu bapa, malah remaja kini lebih banyak meluangkan masa dengan rakan berbanding dengan keluarga. Remaja takut diri mereka akan dipinggirkan daripada kumpulan rakan sekiranya tidak mengikut perbuatan mereka. Akibatnya, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa memikirkan kesan daripada perbuatan tersebut. Sebagai misalan, apabila sekumpulan rakannya merokok, nescaya (sudah tentu) remaja dalam kumpulan tersebut akan didesak supaya melakukan perbuatan yang sama. Oleh itu, remaja akan cenderung mencontohi perbuatan rakan sebaya mereka yang tidak sihat. Tegasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan punca remaja terjebak dalam gejala sosial.

     Di samping itu, punca remaja terjebak dalam gejala sosial ialah sikap remaja sendiri. Hal ini demikian kerana remaja kini lebih mudah terpengaruh oleh gaya hidup dan budaya asing. Remaja seolah-olah mengagung-agungkan budaya asing dan beranggapan bahawa budaya ini merupakan cara hidup moden yang seiring dengan dunia yang semakin canggih ini. Sebagai contoh, duduk serumah sebelum berkahwin, gaya pakaian yang tidak cukup kain, fesyen rambut bercorak burung belatuk dan tatu-tatu yang menghiasi tubuh badan merupakan budaya yang tertimbul akibat terlalu mengagung-agungkan budaya asing. Oleh itu, imej negara akan terjejas dan kita akan malu dengan arang yang terconteng di muka. Sudah terang lagi bersuluh, sikap remaja sendiri merupakan punca remaja terjebak dalam gejala sosial.

     Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” untuk mengelakkan fenomena remaja terjebak dalam gejala sosial daripada terus berleluasa. Jika tidak, remaja kita akan semakin hari semakin runtuh akhlak dan etikanya. Semoga kita akan dapat menzahirkan remaja yang cemerlang, gemilang dan terbilang demi negara tercinta kita. Namun begitu, bak kata peribahasa, “tepuk dada tanya selera”.
                                                                                                                                                                                                                           (494 patah perkataan)