Statistik Pembaca

737529

Mengenai Saya

Khamis, 27 September 2012

Apakah itu program PERHALUS?



 Memandangkan masih ramai murid SPM yang tidak layak mendapat sijil kerana gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, maka Modul Latihan Terancang PERHALUS untuk sekolah-sekolah menengah negeri Pahang telah dihasilkan. 

 Kerjasama pintar antara Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dengan Yayasan Pahang untuk menerbitkan modul ini bertepatan dengan misi Jabatan Pelajaran Pahang, iaitu Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti.

 Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan murid untuk lulus dalam Bahasa Melayu adalah kerana mereka tidak menguasai kemahiran 2M, tidak dapat menjana idea untuk mengarang dan kurang minat membaca.

 Modul ini diharapkan dapat menjadi asas dan rujukan kepada para guru dalam usaha meningkatkan peratus lulus dalam subjek Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Pahang agar berupaya mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu peratus gagal 8% diminimumkan kepada 4% sahaja bagi SPM tahun 2012.

 Latihan terancang yang disediakan menjadi medan perkongsian ilmu kepada para guru dalam usaha membantu murid-murid yang memerlukan bimbingan untuk lulus. Latihan-latihan yang dimuatkan dalam modul ini merupakan cadangan sumber isi pelajaran subjek Bahasa Melayu yang telah disusun secara terancang mengikut kesesuaian tahap pencapaian murid-murid lemah Bahasa Melayu.

 Modul ini terbahagi kepada lima komponen utama dan setiap komponen mengandungi soalan-soalan ansur maju. Modul ini bukan sahaja memudahkan guru mengajar, malah mampu memberi idea baharu untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dalam bilik darjah.

 Pihak Yayasan Pahang dan Jabatan Pelajaran Pahang berharap agar modul PERHALUS ini dapat digunakan secara optimum dalam usaha membantu anak-anak didik kita. Tahniah diucapkan kepada warga pendidikan yang telah sama-sama berusaha dengan gigih dalam menghasilkan modul PERHALUS yang komprehensif dan bakal digunakan kepada kumpulan murid-murid potensi lulus. Oleh itu, pemantauan, penilaian, dan penambahbaikan seharusnya menjadi elemen yang perlu ditekankan dalam kitaran pelaksanaan modul PERHALUS ini.

 Semoga matlamat dan hasrat murni untuk membantu murid-murid potensi lulus negeri Pahang akan tercapai dengan jayanya. Sesungguhnya, anak-anak didik ini berhak untuk dibantu demi melahirkan modal insan yang celik ilmu. Bak kata orang:

Hanyut dipintas,
Hilang dicari,
Terapung dikait,
Terbenam diselami.

Latihan 2 - Faedah-faedah Dasar 1 Murid 1 Sukan

Lemah dalam Bahasa Melayu?
Menghadapi kesukaran untuk menulis karangan?
Tidak tahu cara untuk menghuraikan isi karangan?
Tidak ada idea ketika menulis?

Jangan risau!

Karangan di bawah ini ditulis mengikut struktur khas yang boleh membimbing anda untuk menghasilkan sebuah karangan yang lebih mantap dan berstruktur. Berikanlah perhatian kepada perkataan yang telah digariskan.




Tajuk 2: 
Dasar 1 Murid 1 Sukan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara untuk memastikan setiap murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

 Pada hari ini, isu aktiviti sukan selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana Dasar 1 Murid 1 Sukan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara untuk memastikan setiap murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakatOleh itu, marilah kita membincangkan faedah-faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan. 

 Sesungguhnya, faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang pertama adalah melahirkan remaja yang sihat dan cerdas. Hal ini demikian kerana remaja dapat mengeluarkan peluh semasa bersukan. Sebagai contoh, bermain sukan bola sepak, bola keranjang, dan badminton di sekolah. Oleh itu, kita dapat mewujudkan remaja yang lebih cemerlang. Jelaslah, melahirkan remaja yang sihat dan cerdas merupakan faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan. 

 Tambahan pula, faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti yang kedua ialah dapat mengesan bakat sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana guru-guru dapat mengetahui bakat murid-murid sejak sekolah rendah lagi. Sebagai contoh, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David bersukan sejak sekolah rendah lagi. Oleh itu, kita dapat mewujudkan remaja yang lebih istimewa. Benarlah, dapat mengesan bakat sejak kecil lagi merupakan faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan. 

 Selain itu, faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang ketiga adalah melahirkan rakyat yang cinta akan negara. Hal ini demikian kerana pelajar akan cuba menaikkan imej negara jika mereka mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, mereka boleh mencontohi semangat pasukan Piala Thomas negara atau pasukan bola sepak Harimau Muda. Oleh itu, kita dapat mewujudkan rakyat yang bangga akan negaranya. Tegasnya, melahirkan rakyat yang cinta akan negara merupakan faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan. 

 Realitinya faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang terakhir adalah meningkatkan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana ahli sukan yang menang akan membayar cukai kepada negaranya. Sebagai contoh, ahli sukan seperti Tiger Woods dan David Beckham merupakan antara ahli sukan yang terkaya di dunia. Oleh itu, kita dapat mewujudkan rakyat yang bertanggungjawab. Jelaslah, meningkatkan ekonomi negara merupakan faedah yang diperoleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

 Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama menyokong isu aktiviti sukan ini. Jika tidak, kita akan rugi. Semoga kita akan dapat melahirkan remaja yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun begitu, ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.

(381 patah perkataan)

(Sumber: Modul Latihan Terancang Program Perhalus SPM 2012)

Selasa, 25 September 2012

Latihan 1 - Rumusan dan Pemahaman

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah industri pelancongan kepada negara dan sebab-sebab pelancong gemar ke Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

     Negara kita Malaysia semakin maju menuju wawasan 2020. Salah satu faktor yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara kita ialah sektor pelancongan. Oleh sebab itulah kerajaan berterusan mengadakan Kempen Melawat Malaysia. Sektor pelancongan menggalakkan pengaliran wang masuk ke negara kita. Apabila pelancong asing melancong ke Malaysia, mereka akan mengeluarkan wang untuk berbelanja seperti penginapan, makanan, dan pengangkutan. Mereka akan menukarkan wang negara asal mereka kepada nilai wang ringgit. Selain itu, sektor pelancongan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Lokasi tumpuan pelancong seperti restoran, stesen bas, lapangan terbang, dan hotel memerlukan tenaga pekerja. Dengan adanya peluang pekerjaan, penduduk tempatan berpeluang untuk mencari nafkah.

      Pada waktu yang sama, kraf tangan negara dapat dimajukan melalui sektor pelancongan. Pelancongan sama ada dari dalam negara atau luar negara pasti akan membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan. Malah, sektor pelancongan juga akan menaikkan nama negara di persada dunia. Pelancong yang berpuas hati dengan keindahan dan keistimewaan Malaysia pasti akan mengesyorkan kawan-kawan mereka agar berkunjung ke Malaysia. Malah, kedatangan pelancong juga menyebabkan wujudnya hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain. Hal ini demikian kerana pelancong yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan bangsa. Bagi rakyat tempatan yang bijak mengambil kesempatan, kedatangan pelancong mampu meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk.

     Selain itu, pelancongan secara tidak langsung mampu meningkatkan pengetahuan rakyat tentang budaya dan ketamadunan bangsa asing. Jika tindakan positif diambil oleh segenap lapisan masyarakat, industri pelancongan boleh menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat. Untuk memastikan pelancong berasa selesa berada di negara kita, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan. Kerajaan sedar, kedatangan pelancong banyak memberi faedah kepada negara. Oleh itu, kerajaan akan meningkatkan kemudahan prasarana negara seperti sistem pengangkutan, perhotelan, perkhidmatan dan kesihatan yang akhirnya memberi kemudahan kepada rakyat keseluruhannya. Dalam jangka panjang, dengan respons masyarakat terhadap kedatangan pelancong, sudah pasti dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan yang berpendapatan rendah.

   Kerajaan telah melonggarkan syarat-syarat untuk memasuki negara bagi menggalakkan kemasukan pelancong asing. Dengan menggunakan taraf pelancong, seseorang itu boleh tinggal di negara itu selama sebulan tanpa permit kerja mahupun visa. Hal ini menyebabkan wujudnya sindiket-sindiket haram membuka cawangannya di negara kita yang menyebabkan kita terdedah kepada peningkatan jenayah. Kesan negatif yang lain, untuk membangunkan bidang pelancongan, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan. Antaranya ialah kemudahan membeli-belah, kemudahan hiburan, dan pusat-pusat rekreasi. Malangnya, kemudahan-kemudahan prasarana telah disalahgunakan oleh para belia untuk melepak dengan alasan untuk menenangkan fikiran. Malah, kedatangan pelancong tanpa kawalan menyebabkan mereka menjadikan Malaysia sebagai lubuk emas mencari pekerjaan, lalu peluang belia untuk bekerja menjadi semakin terhad. Kita tidak mahu dikatakan, “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan”. Hal ini bukan omongan kosong apabila boleh dikatakan terlalu kerap media massa memaparkan anggota polis memberkas pelancong asing yang bekerja menggunakan visa lawatan.


Rumusan Lengkap:
 Petikan membincangkan kebaikan industri pelancongan kepada negara.

 Faedah-faedahnya adalah menggalakkan pengaliran wang masuk ke negara kita dan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain itu, kraf tangan negara dapat dimajukan. Seterusnya, menaikkan nama negara di persada dunia. Di samping itu, meningkatkan kemudahan prasarana negara. Dalam pada itu, mewujudkan hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain dan meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk.

 Sebab-sebab pelancong gemar ke Malaysia kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan harmoni. Negara kita juga mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi oleh para pelancong.

 Kesimpulannya, semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam membangunkan industri pelancongan di Malaysia supaya ekonomi negara terus berkembang.

(108 patah perkataan)


Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.
i.  Berikan maksud rangkai kata semakin terhad. [2 markah]
Rangkai kata semakin terhad bermaksud menjadi lebih terbatas.

ii. Nyatakan tiga kesan negatif dengan tindakan kerajaan memajukan industri pelancongan. [3 markah]
 Kesan negatif tindakan kerajaan memajukan industri pelancongan adalah mewujudkan sindiket-sindiket haram membuka cawangannya di negara kita menyebabkan kita terdedah kepada peningkatan jenayah.

 Selain itu, kemudahan-kemudahan prasarana telah disalahgunakan oleh para belia untuk melepak.

 Akhir sekali, kedatangan pelancong tanpa kawalan menyebabkan mereka menjadikan Malaysia sebagai lubuk emas mencari pekerjaan, lalu peluang beliau untuk bekerja menjadi semakin terhad.

iii. Pada pendapat anda, apakah yang dapat dilakukan oleh penduduk yang tinggal di desa untuk terlibat sama dalam industri pelancongan. [4 markah]
 Pada pendapat saya, penduduk yang tinggal di desa dicadangkan melaksanakan program Inap Desa untuk para pelancong.

 Selain itu, penduduk desa perlu melibatkan diri dalam industri kraf tangan dalam menghasilkan barangan cenderamata.

 Seterusnya, para belia boleh menceburkan diri secara aktif sebagai pemandu pelancong dalam memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di negara kita.

 Akhir sekali, persembahan kebudayaan juga dapat dilakukan oleh penduduk tempatan sebagai salah satu usaha menari perhatian para pelancong berkunjung ke negara kita.



Nota 1 - Empat Langkah Menulis Rumusan

Empat Langkah Menulis Rumusan:

Langkah Pertama

·        Baca arahan:

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah buli dan  kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



Langkah Kedua
·        Mengenal pasti kata kunci yang pertama dan kedua.
·        Kata kunci pertama – langkah-langkah menangani masalah buli.
(Kemudian, menukarkan kata kunci pertama kepada perkataan yang sinonim)
Kata Kunci
Perkataan Sinonim
Punca-punca
sebab-sebab, faktor-faktor
Kesan-kesan
akibat, implikasi, impak, natijah
Langkah-langkah
cara, kaedah, usaha, strategi, tindakan, antidot
Kebaikan
faedah, manfaat, keistimewaan, kepentingan, keuntungan, kelebihan
Keburukan
kelemahan, kekurangan, kepincangan, kerugian, masalah, kesan negatif
Peranan
fungsi, tanggungjawab, tugas
Sumbangan
jasa, bakti
Kekangan
halangan, masalah, kesulitan, rintangan, cabaran
Ciri-ciri
kriteria
Fenomena
keadaan, situasi

·        Kata kunci kedua – kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan.
(Tidak perlu menukarkan kata kunci kedua kepada perkataan yang sinonim)

Langkah Ketiga
·        Baca petikan sambil mengenal pasti 6 isi tersurat (kata kunci yang pertama).
·        Memikirkan 2 isi tersirat (kata kunci yang kedua).

Langkah Keempat
·        Menulis sebuah rumusan yang lengkap yang mempunyai 4 perenggan.
Perenggan 1
Pendahuluan
Menukarkan kata kunci pertama dengan perkataan yang sinonim dengannya:
Petikan membincangkan cara-cara menangani masalah buli.
Perenggan 2
Isi tersurat
Mencari 6 isi tersurat yang terdapat dalam petikan:
Langkah 1 –
Langkah 2 –
Langkah 3 –
Langkah 4 –
Langkah 5 –
Langkah 6 –
Perenggan 3
Isi tersirat
Memikirkan 2 isi tersirat (isi tersirat ini tidak terdapat dalam petikan):
Kesan 1 –
Kesan 2 –
Perenggan 4
Penutup
Menulis kesimpulan yang mengandungi cadangan positif dan kesan positif:
Kesimpulannya, …(cadangan positif)…agar/supaya/demi…(kesan positif)

Isnin, 24 September 2012

Nyanyian Puisi dan Pendeklamasian Sajak oleh Cikgu Chin


Tajuk puisi yang dinyanyikan: 

Tiada Ternilai
Negara Malaysia
Aman dan damai
Hormat kemuliaan
Tiada ternilai
Pengorbananmu
Sungguh berharga engkau
Malaysia


Tajuk sajak yang dideklamasikan: 

55 tahun merdeka
55 tahun dahulu
Merdeka! Merdeka! Merdeka! 
Dilaungkan dengan penuh rasa bangga
Merdeka itu ayat keramat
Air mata rakyat mengalir kegembiraan
Menitis ke tanah seperti memberi sinar dan harapan
Kepada bangsa, agama, dan negara

Kini,
55 tahun sudah berlalu
Segala harapan dan impian dahulu sudah tercapai
Tetapi,
Di sebalik kejayaan ini
Adakah anak-anak Malaysia cukup mengerti sengsara mencapai kemerdekaan?
Mereka tak mengerti, mereka lalai!

Anak-anak muda kini
Ketawa meraikan kemerdekaan
Mereka tidak merasai kesusahan dan keperitan nenek moyang
Mereka tidak sedar betapa mulianya kemerdekaan
Mereka tidak sedar!

Apa akan terjadi kepada kemerdekaan kita?
Adakah ia akan berkekalan selamanya?

Sedarlah anak-anak Malaysia
Carilah erti kemerdekaan
Renungkanlah segala onak duri
Teguhkanlah kemerdekaan
Bukan untuk 55 tahun
Tetapi untuk selama-lamanya.

Chin Boon Tek
09.09.12
Temerloh, Pahang

Latihan 1 - Kebaikan Amalan Bergotong-royong

Karangan cemerlang yang dihasilkan oleh anak murid Cikgu TanCL. Tahniah diucapkan kepada pelajar tersebut.



Tajuk 1: Kebaikan Amalan Bergotong-royong

 Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong-royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera. Berapa ramaikah anggota masyarakat yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan cara untuk melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian, kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini. 

 Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong-royong kita dapat memperindah kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghumi bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong yang dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. 

 Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahatir, "mencegah lebih baik daripada mengubati". Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalau kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal. 

 Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan. Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama sendiri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing.

 Melalui kegiatan yang afdal ini, kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr. Mahatir, mantan Perdana Menteri yang ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

 Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini, kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu-padu. Sebagai tamsilnya, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama yang akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "jiran sepakat membawa berkat".

 Intihanya, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

(856 patah perkataan)
     
(Sumber: Cikgu TanCL)

Ahad, 23 September 2012

Latihan 2 - Sebab Pelajar Tidak Mematuhi Disiplin

Lemah dalam Bahasa Melayu?
Menghadapi kesukaran untuk menulis karangan?
Tidak tahu cara untuk menghuraikan isi karangan?
Tidak ada idea ketika menulis?

Jangan risau!
Karangan di bawah ini ditulis mengikut struktur khas yang boleh membimbing anda untuk menghasilkan sebuah karangan yang lebih mantap dan berstruktur. Berikanlah perhatian kepada perkataan yang telah digariskan.


Tajuk 2: Sebab Pelajar Tidak Mematuhi Disiplin

 Pada hari ini, isu disiplin pelajar selalu diperkatakan. Umumnya mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mencari sebab-sebab pelajar tidak mematuhi disiplin. 

 Sesungguhnya, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah masalah keluarga. Hal ini demikian kerana ibu bapa tidak memberi perhatian kepada anak-anak. Contohnya ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan mereka. Sekiranya hal ini berlaku pastilah anak-anak akan terbiar. Benarlah keluarga penting untuk membentuk disiplin pelajar.

 Selain itu, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah mereka terpengaruh dengan rakan. Hal ini demikian kerana mereka mudah terikut-ikut dengan kelakuan rakan sebaya. Contohnya, pelajar akan mengikut rakan mereka ponteng sekolah. Sekiranya hal ini berlaku pastilah akan merosakkan masa depan pelajar. Tepatlah bahawa rakan merupakan sebab yang boleh mempengaruhi pelajar.

 Di samping itu, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah pengaruh media. Hal ini demikian kerana media sering menyiarkan contoh kelakuan yang tidak baik. Contohnya, perlakuan remaja menghisap rokok. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan merosakkan disiplin pelajar. Betullah bahawa media boleh mempengaruhi disiplin pelajar. 

 Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menangani isu disiplin pelajar ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya menanganinya. Semoga akan lahir pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa akan datang. Namun begitu ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.

(213 patah perkataan)

(Sumber: Modul Latihan Terancang Program Perhalus SPM 2012) 

Latihan 1 - Kebaikan Amalan Bergotong-royong

Lemah dalam Bahasa Melayu?
Menghadapi kesukaran untuk menulis karangan?
Tidak tahu cara untuk menghuraikan isi karangan?
Tidak ada idea ketika menulis?

Jangan risau!
Karangan di bawah ini ditulis mengikut struktur khas yang boleh membimbing anda untuk menghasilkan sebuah karangan yang lebih mantap dan berstruktur. Berikanlah perhatian kepada perkataan yang telah digariskan.


Tajuk 1: Kebaikan Amalan Bergotong-royong

 Pada hari ini, isu amalan gotong-royong selalu diperkatakan. Umumnya mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal sedemikian berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mencari kebaikan amalan bergotong-royong. 

 Sesungguhnya, kebaikan amalan gotong-royong adalah mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Contohnya, mereka dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan melahirkan keadaan yang aman. Benarlah amalan gotong-royong boleh mengeratkan perpaduan ahli masyarakat.

 Selain itu, kebaikan amalan gotong-royong adalah mempercepat dan memudahkan sesuatu kerja. Hal ini demikian kerana kerja yang dilakukan dapat dilakukan bersama-sama. Contohnya, bergotong-royong menjayakan majlis perkahwinan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan meringankan sesuatu kerja. Tepatlah bahawa amalan gotong-royong membawa banyak kebaikan.

 Di samping itu, kebaikan amalan bergotong-royong adalah memperkukuh semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana masyarakat dapat mengambil berat hal-hal kejiranan. Contohnya, kita boleh menolong jiran yang menghadapi kesusahan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan mengukuhkan hubungan antara jiran. Betullah bahawa amalan gotong-royong memberikan banyak kebaikan.

 Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menggalakkan amalan gotong-royong ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya. Semoga akan lahir masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun begitu, ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.                                                                                                                
(203 patah perkataan)

Sumber: Modul Latihan Terancang Program Perhalus SPM 2012 

Sabtu, 22 September 2012

Praktis 2

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas. 

(i) membaluti - membalutkan 
- Kalau tiada kulit yang membaluti tubuhnya sudah tentu bercerai segala tulangnya.
- Jururawat itu membalutkan luka pesakit yang dirawatnya dengan berhati-hati. 

(ii) melukai - melukakan 
- Pahlawan-pahlawan Melaka pada zaman dahulu begitu hairan melihat peluru meriam yang tidak tajam                 tetapi dapat melukai mangsa dalam jangkauan sasarannya. 
- Dia tidak sedar bahawa kata-kata yang keluar daripada mulutnya yang celopar itu telah melukakan hati kawan-kawannya. 

(iii) menyelami - menyelamkan 
- Sesiapa yang dapat menyelami perasaan Alina sahaja yang memahami hati budinya. 
- Ibu menyelamkan timba yang dibawanya itu ke dalam perigi untuk mencedok air. 

(b) Tukarkan petikan itu di bawah ini ke dalam bentuk perbualan tanpa mengubah maksud asalnya. 

     David bertanya kepada Selvam tentang cita-citanya selepas tamat pengajian nanti. Selvam berkata bahawa dia mahu memilih kerjaya sebagai guru. David menginginkan kepastian, sama ada dia benar-benar ingin menjadi guru atau kerana tidak mahu menjadi penganggur. Selvam menjelaskan bahawa tujuannya menjadi guru kerana hendak mendidik anak bangsa, bukan takut tiada kerja dan terpaksan menganggur. David mengucapkan syabas kepada Selvam atas niat sucinya itu dan berharap agar cita-citanya dimakbulkan oleh Tuhan. Selvam menghargai sokongan David dan mengucapkan terima kasih kerana memahami niat sucinya itu. 

David    : Apakah cita-cita awak selepas habis belajar?
Selvam  : Saya hendak menjadi seorang guru.
David    : Awak betul-betul hendak menjadi cikgu atau awak takut menjadi penganggur?
Selvam  : Saya hendak mendidik anak bangsa, bukan sebab takut menjadi penganggur.
David    : Syabaslah kerana niat suci itu. Semoga keikhlasan awak akan dimakbulkan oleh Tuhan.
Selvam  : Saya menghargai sokongan awak dan terima kasih kerana memahami niat murni saya itu. 

(c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. 

(i) Setiap orang mempunyai hak untuk bergaya dan menjaga penampelan diri kerana mereka mahu kelihatan menarik pada pemandangan orang lain.
     penampelan - penampilan
     pemandangan - pandangan

(ii) Negara-negara yang memegang kuasa vito dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah digesa oleh negara anggota pertubuhan dunia itu agar tidak menyalahgunakan kedudukkan mereka. 
     vito - veto
     kedudukkan - kedudukkan 

(iii) Anugerah Guru Inovatif diadakan untuk memberikan periktirafan kepada guru yang telah menghasilkan usaha kreatif untuk meningkatkan profesionalisma keguruan dan keberkesanan kurikulum.
      periktirafan - pengiktirafan
      profesionalisma - profesionalisme 

(d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. 

(i) Program Mengatasi Kemiskinan akan memberikan peluang pada golongan berpendapatan rendah menambahkan pendapatan dan memupuk nilai positif tentang kehidupan.
      Mengatasi - Membasmi
      pada - kepada

(ii) Sekalipun kenaikan harga minyak tidak begitu menyusahkan syarikat pengangkutan awam tetapi keuntungan yang syarikat itu peroleh mungkin berkurang.
      menyusahkan - menjejaskan
      syarikat itu peroleh - diperoleh oleh syarikat itu

(iii) Pesakit diabetes dan alahan adalah antara masalah kesihatan yang dialami oleh sesetengah orang yang berpunca dari amalan pemakanan yang tidak betul. 
       pesakit - penyakit
       dari - daripada

(e) Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian lengkapkan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai. 

     Kita akui masyarakat moden ialah masyarakat yang bermaklumat. Namun, maklumat yang dimaksudkan itu mestilah betul dan sumbernya sahih. Kita tidak menggalakkan masyarakat kita menyebarkan (i)______________ kerana hal itu akan memporak-perandakan masyarakat. Walaupun tidak banyak yang melakukannya tetapi kesannya tetap sama, iaitu anggota masyarakat saling berprasangka buruk kerana amalan segelintir anggota masyarakat itu menepati maksud peribahasa (ii)_______________. Perkara begini hendaklah kita hindari supaya kita tidak dianggap berfikiran (iii)_________________ dalam apa-apa jua keadaan dan dalam sebarang tindakan. 

(i) khabar angin
(ii) kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
(iii) setengah masak

Praktis 1

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) multidimensi
Pengeluar telefon bimbit jenama terkemuka telah menguar-uarkan bahawa produk baru keluaran syarikat itu dilengkapi kamera multidimensi.

(ii) multidisiplin 
Institusi pengajian tinggi wajar mengajar dan mengkaji kebudayaan penduduk negara ini daripada perspektif multidisiplin

(iii) multinasional
Beberapa syarikat multinasional di negara ini telah berjaya mengembangkan sayap dan meneroka peluang perniagaan di luar negara. 

(iv) multivitamin
Beliau dinasihati oleh doktor supaya mengambil multivitamin agar penyakit yang dihidapinya tidak berulang. 

(v) multilateral
Pihak yang terlibat dalam persidangan serantau itu telah menandatangani perjanjian multilateral berhubung dengan kepetingan ekonomi negara-negara anggota.

(vi) multimedia
Pengajaran guru lebih berkesan apabila alat multimedia digunakan dalam proses penyampaian ilmu di dalam kelas. 

(b) Pisahkan petikan di bawah ini menjadi enam ayat tunggal dengan mengekalkan susunan dan maksud asalnya. 

Institusi pengajian tinggi tidak harus menggalakkan penubuhan persatuan mahasiswa yang berasaskan kenegerian. Pergerakan begini walaupun merapatkan hubungan ahli sesama anak negeri yang sama tetapi kewujudannya juga akan membina jarak hubungan dengan pelajar dari negeri lain. 

(i) Institusi pengajian tinggi tidak harus menggalakkan penubuhan persatuan mahasiswa.
(ii) Persatuan itu berasaskan kenegerian.
(iii) Pergerakan ini merapatkan hubungan sesama ahli.
(iv) Ahli itu sama anak negeri.
(v) Kewujudannya menjarakkan hubungan pelajar.
(vi) Pelajar itu dari negeri lain.

(c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. 

(i) Rancangan Malaysia Ke Sepuluh memberikan tekanan terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan di bandar dan di luar bandar.
   Ke Sepuluh - Kesepuluh
   tekanan - penekanan

(ii) Wang petaruhan dalam sesuatu pembidaan hendaklah disediakan dalam bentuk deraf bank atas nama pihak yang mengeluarkan tender tersebut.
    petaruhan - pertaruhan
    deraf - draf

(iii) Pihak sekolah mengada pemantauan yang berterusan di kawasan-kawasan yang beresiko tinggi berlakunya kejadian ragut.
    mengada - mengadakan
    beresiko - berisiko

(d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Peneroka dalam sesuatu bidang ilmu mesti mempunyai ketelitian untuk mengelakkan kesimpulan yang rapuh dan tidak berpijak di atas fakta yang kukuh sehingga menghasilkan kajian yang salah.
     Peneroka - pengkaji
     di atas - atas

(ii) Saban hari berita tentang peperangan memenuhi dada akhbar dan kaca televisyen malah lagi perkhabaran itu berlaku di negara yang tiada daya untuk menentang kuasa penceroboh.
     malah - apatah
     perkhabaran - berita

(iii) Lambakan industri produk kecil dan sederhana bukan sahaja memenuhi pasar raya di dalam negara tetapi juga dapat menguasai ruang niaga di gedung terkemuka luar negara.
       industri produk kecil - produk industri kecil
       luar negara - di luar negara

(e) Baca maksud peribahasa di bawah ini dengan teliti dan kemudian tulis peribahasa yang sesuai dengan setiap maksud peribahasa tersebut. 

(i) Orang yang cepat marah walaupun atas sebab yang kecil.
     naik angin

(ii) Orang yang kerap berpindah tidak dapat mengumpul kekayaan.
     batu yang bergolek tiada mengumpul lumut

(iii) Membuat kebaikan itu biarlah berpatutan dan kejahatan itu janganlah dilakukan walaupun sekali.
      buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali